TIPS MENYUSU DI KHALAYAK RAMAI




MENYUSUKAN anak di khalayak mengundang pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang bersetuju dan juga sebaliknya. Malah lebih berat lagi apabila ada individu ‘berselfie’ dan dimuat naik dalam media sosial dan diviralkan.


1.Buat persediaan awal!

Apabila meninggalkan rumah dan jika anda tahu destinasi anda, buat perancangan awal seperti di mana tempat yang sesuai untuk berhenti dan menyusukan bayi apabila dia lapar. Dengan begitu, anda tidak perlu panik apabila bayi perlu disusukan.




2.Pakai pakaian sesuai

Terdapat pelbagai jenis pakaian dan coli yang sesuai untuk menyusukan bayi yang boleh membantu anda seperti yang ada kelepet, berbutang atau berbelah.

Pakaian-pakaian tersebut dapat mendedahkan payudara secukupnya untuk bayi menyusu dan pada masa yang sama menutupnya daripada pandangan orang ramai.

Anda juga boleh membawa sehelai selendang berwarna gelap atau cuba gunakan penyandang bayi sebagai penutup agar tiada sesiapa pun yang perasan anda sedang menyusukan bayi.


3. Bawa peralatan bersama anda

Anda patut sentiasa bawa semua peralatan seperti kain selendang, selimut atau kain lap untuk menyusukan bayi ke mana-mana anda pergi bagi memudahkan anda apabila ia diperlukan.


4. Cari sudut yang sesuai

Anda perlu bijak memilih tempat yang sesuai untuk menyusukan bayi di khalayak ramai kerana ada sesetengah tempat yang mungkin tidak berapa sesuai.

Jika anda berada di gedung besar atau tempat membeli-belah, ambil kesempatan untuk menggunakan bilik penyusuan yang selalunya ditempatkan bersebelahan dengan tandas.

Jika anda berada di restoran, cari meja di sudut atau di belakang sebatang pokok atau tiang. Anda juga harus menyerongkan tubuh jauh daripada khalayak ramai atau gunakan kad menu untuk menyelindung diri anda.

Jika tiada tempat yang sesuai bagi membolehkan anda menyusukan bayi, pertimbangkan untuk menyusukan bayi di dalam kereta.



5. Ketahui hak anda

Ketahuilah bahawa anda mempunyai hak untuk menyusukan bayi anda pada bila-bila masa yang diperlukan. Ia adalah satu proses semulajadi; oleh itu janganlah berasa malu untuk menyusukan bayi secara berselindung di khalayak ramai.



Menyusukan bayi di khalayak ramai boleh menimbulkan beberapa cabaran kepada anda tetapi ia berbaloi untuk diatasi kerana bayi anda akan mendapat khasiat terbaik daripada anda setiap masa. Berbanggalah kerana anda seorang ibu yang menyusukan bayi dan anda boleh melakukannya!


Dr Gan Yoke Cheng
<p>Consultant Paediatrician & Breastfeeding Advisor</p>





No comments